Rumah Keluarga Indonesia

 Breaking News

Sifat-Sifat Jelek dalam Diri Manusia

August 22
14:49 2013

 

Turkey muslim fashionSombong

Penyakit sombong yang menimpa umat adalah suatu gejala emosi apabila seseorang itu berasa diri lebih daripada orang lain kerana seseorang itu berasa lebih cantik, lebih kaya, lebih berpangkat dan sebagainya.

Malah kalau sifat sombong itu sudah sampai kepada tingkat yang lebih tinggi, seseorang itu akan menjadi takbur. Islam melarang umatnya berlaku sombong, baik dalam sikap, tingkah laku mahupun dalam perkataan. Sebagaimana firman Allah yang artinya:

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan diatas muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang sombong dan membanggakan diri.”

Apabila sifat sombong itu bersarang dalam jiwa orang yang berkuasa, maka akan timbullah perbuatan yang kejam terhadap masyarakat atau rakyat

Tamak

Penyakit tamak ini adalah suatu sifat ingin menguasai atau mendapatkan bahagian lebih banyak daripada orang lain. Nama lain bagi sifat tamak ini ialah loba atau serakah. Pada umumnya, sifat tamak itu berkenaan dengan perkara kepuasan dan kemewahan hidup didunia. Tamak terhadap harta benda dengan jalan mengumpulkan harta benda dan kekayaan dengan sebanyaknya.

Tidak peduli apakah dengan cara yang halal mahupun dengan cara yang haram merampas hak orang lain, merugikan kepentingan umum dan sebagainya. Nabi Isa a.s. pernah mengatakan bahawa tamaknya manusia terhadap harta benda itu tak ubah seperti orang yang sedang minum minuman yang memabukkan semakin diminum semakin berkurang rasanya dan tak puas-puas. Barulah mereka akan berhenti minum kalau sudah mabuk atau tidak sedar diri.

Sejarah telah menunjukkan bahawa tamak tehadap harta benda atau tamak terhadap kekuasaan itu tidak akan bertahan lama, dan pada tingkat terakhir pasti akan mengalami kejatuhan sebab tidak sesuai dengan menilai-nilai keadilan dan kemanusian. Islam mengendalikan hawa nafsu terhadap harta benda itu dengan mengadakan batasan.

Penyakit rohani itu banyak macam. Dalam satu hadis dijelaskan Rasulullah s.a.w sebagai berikut:

“Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh suatu penyakit umat. Para sahabat bertanya: Apakah panyakit umat itu? Nabi menjawab: Kufur nikmat, sombong, tamak, berlumba-lumba, benci, dengki sehingga melampaui batas (berlaku kejam) dan kemudian bunuh membunuh.”

Kufur Nikmat

Orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah, lebih-lebih lagi yang mempergunakan nikmat yang diterimanya untuk mendurhakai Allah, mengerjakan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah, maka sikap yang demikian itu dinamakan kufir nikmat.

Akibat daripada sifat kufur nikmat itu, pada suatu ketika nanti Allah akan menimpakan bencana terhadap pelakunya. Kadang-kadang dalam bentuk kesengsaraan, malapetaka, selalu ditimpa penyakit dan sebagainya. Apalagi kalau yang kufur nikmat itu banyak jumlahnya sampai satu negeri, maka kaum dan negeri tersebut pada suatu ketika akan dihancurkan oleh Allah.

Berlumba-Lumba

Penyakit berlumba-lumba ini dapat juga dikatakan sebagai kelanjutan daripada sifat tamak. Jika berlumba-lumba itu masih dalam batas-batas yang dibolehkan oleh agama tidaklah mengapa, tetapi jika berlumba-lumba itu sudah sampai kepada perkara saling buruk memburukan, jatuh menjatuhkan, maka akan sampailah manusia itu pada tingkat permusuhan.

Dalam pada itu, Islam memang menganjurkan supaya orang berlumba-lumba dalam segala bidang kehidupan, baik untuk kemajuan peribadi, mahupun untuk kemajuan bersama. Akan tetapi berlumba-lumba yang dianjurkan oleh Islam adalah berlumba-lumba yang membawa kepada kebaikan.

Benci-Membenci

Penyakit benci membenci ini adalah satu sifat yang biasanya ada dalam pergaulan masyarakat. Penyakit ini jika dibiarkan akan meningkat kepada permusuhan. Sebab timbulnya sifat benci membenci itu kadangkala disebabkan oleh masalah kecil, seperti pembawaan seseorang, sikap, ucapan, tidak bertimbang rasa dan sebagainya. Oleh kerana itu dalam pergaulan sehari-hari hendaklah dijaga dan dipelihara sebab-sebab yang dapat menimbulkan perasaan benci.

Biasanya kebencian itu tidak sepihak sahaja, tetapi pada kedua-dua belah pihak. Umpamanya antara keluarga sesama keluarga atau antara tetangga sesama tetangga. Apabila sifat itu sudah mula dirasakan dalam hidup bertetangga maka hidup akan terasa seakan-akan duduk diatas bara api.

Hasad

Hasad adalah berkenaan dengki dan iri hati terhadap nikmat yang diperolehi oleh orang lain. Bukan hanya semata-mata iri hati sahaja tetapi yang diinginkannya supaya nikmat tersebut hilang daripada tangan orang yang berkenaan.

Pada hakikatnya hati kecilnya menginginkan supaya dia hendaknya dapat pula memperolehi nikmat seperti itu, tetapi tidak ada kemampuan untuk mendapatnya, maka timbullah sikap buruk dalam dirinya iaitu hasad dan dengki.

Akibat daripada sifat dengki itu, bukan sahaja merusakkan diri orang lain, tetapi juga akan merusakkan diri sendiri. Oleh itu Allah memerintahkan supaya orang yang beriman baik lelaki dan perempuan selalu memohon perlindungan daripada penyakit yang bahaya ini seperti dijelaskan dalam Al-Quran maksudnya:”Dan aku berlindung kepada Tuhan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki” (Al-Falak:5)

Kesemua sifat yang dinyatakan diatas, kebanyakkannya terdapat pada kaum wanita. Oleh kerana itu, untuk menghilangkan sifat tersebut hendaknya selalu melakukan muhasabah (berjuang melawan nafsu) serta hendaknya melatih diri dalam membiasakan mengerjakan amalan-amalan yang sifatnya untuk mendekatkan diri kepada Allah. []

 

Share

About Author

adminrki

adminrki

Related Articles

0 Comments

No Comments Yet!

There are no comments at the moment, do you want to add one?

Write a comment

Write a Comment

Leave a Reply